Monday, October 12, 2009

Info - Modul -

:: TERIMA KASIH TUHAN ::

Teras kepada modul ini adalah melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan atas nikmat-nikmat yang dianugerahiNya. Bermula dengan nikmat penciptaan manusia, nikmat kehidupan hinggalah kepada nikmat yang besar iaitu nikmat Iman dan Islam. Kesemua nikmat yang dikecapi ini sebenarnya merupakan tanda kasih sayang Tuhan kepada manusia. Justeru, peserta akan dididik tentang tindakan yang perlu dilakukan agar kasih sayang Tuhan senantiasa berterusan

:: JADI SEPERTI MUHAMMAD ::

Teras kepada modul ini adalah penghayatan terhadap cara hidup Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam sejak lahir hingga wafatnya baginda. Peserta didedahkan tentang peribadi dan akhlak baginda dengan Allah SWT, keluarga, para sahabat, masyarakat sekeliling hinggalah dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada kita yang mengaku sebagai umat Nabi untuk mencontohi akhlak baginda dalam menjalani kehidupan seharian.

:: REDHA IBUBAPA = REDHA ALLAH ::

Modul ini menekankan tentang peranan dan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya. Peserta akan diterangkan tentang kemuliaan ibu bapa bermula apabila Allah menjadikan rahim ibu sebagai tempat proses permulaan kehidupan seorang manusia. Kemudian Allah mencampakkan sifat kasih sayang, kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam diri ibu sepanjang ia mengandung hinggalah di saat kelahiran. Selepas melahirkan, ibu bapa akan melalui proses mendidik dan membesarkan anak. Segala pengorbanan yang ibu bapa lakukan mendapat pengiktirafan Allah. Sebagai anak, peserta akan dididik mengamalkan tingkah laku yang disukai dan dikehendaki ibu bapa.

:: SOLAT CARA NABI ::

Aspek yang ditekankan dalam modul ini adalah cara menunaikan solat seperti yang telah diterangkan Nabi SAW melalui hadith-hadith baginda. Peserta turut diterangkan tentang kekuasaan Allah melalui pensyariatan azan dan huraian tentang keistimewaan surah al-Fatihah berserta isi kandungan sehingga ia dijadikan salah satu rukun solat. Peserta juga akan dilatih untuk mencapai khusyuk atau fokus dalam solat melalui teknik-teknik tertentu. Seterusnya peserta akan diterangkan
tentang hubungkait kecemerlangan dengan orang yang menunaikan solat.

:: EXPLORACE LUQMANUL HAKIM ::

Dalam modul ini, aktiviti eksplorasi rimba digunakan sebagai metode. Istimewanya peserta akan melalui beberapa checkpoint sepanjang ekspedisi bagi menghayati nasihat dan pesanan Luqman al-Hakim seperti yang tertulis dalam al-Qur'an. Nasihat dan pesanan tersebut akan diterjemahkan melalui aktiviti-aktiviti yang telah ditetapkan. Peserta juga dibimbing tentang kaedah menunaikan solat dari menentukan arah kiblat, berwudhu’, pakaian ketika solat hingga solat berjemaah di hutan.

No comments:

Post a Comment